KUALA LUMPUR, 24 November 2026 – Lebih 50 warga OUM menghadiri sesi terakhir Program Jom Baca: Satu Cerita, Satu Inspirasi dikongsi Bersama bagi tahun 2026 yang berlangsung di Perpustakaan Digital Tan Sri Dr Abdullah Sanusi pada 24 November.
Bertemakan Kesusasteraan, sesi November ini menampilkan empat penyampai daripada fakulti dan jabatan berbeza yang berkongsi karya sastera Melayu dan Inggeris. Program turut dihadiri oleh Prof Datin Dr Santhi Raghavan, Naib Presiden/Timbalan Naib Canselor (Teknologi dan Pengalaman Pelajar).
Sesi perkongsian dimulakan oleh Oo Cheng Keat dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang membawakan sajak Guru Oh Guru karya Usman Awang, yang mengangkat jasa dan pengorbanan golongan pendidik.
Eti Fairudz Zainudin dari Fakulti Pendidikan pula berkongsi puisi Warning karya Jenny Joseph yang mengetengahkan kebebasan diri dan keberanian mengekspresikan identiti.
Sementara itu, Alia Syazwina Mior Salim dari Komunikasi Strategik Kumpulan membentangkan puisi Elm karya Sylvia Plath yang meneroka pergolakan emosi melalui gambaran sebatang pokok elm sebagai lambang pengalaman manusia. Zaiton Jamingan dari Pusat Hal Ehwal Pelajar pula memperkenalkan keunikan puisi Melayu tradisional menerusi karya Puisi Melayu Tradisional: Pantun, Syair, Gurindam, Nazam, Seloka oleh Datuk Dr Zurinah Hassan.
Selain perkongsian bahan bacaan, program ini turut menampilkan kuiz berdasarkan pembentangan peserta dan kuiz bertemakan kesusasteraan anjuran pihak perpustakaan.
Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti berbalas pantun serta pembacaan sajak dan syair secara sukarela. Aktiviti ini memberi ruang kepada warga OUM untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti, di samping menghayati keindahan bahasa dan karya sastera.
Sambutan menggalakkan dan penglibatan aktif pengunjung sepanjang program mencerminkan potensi aktiviti perkongsian bacaan sebagai wadah untuk memupuk minat membaca, memperluas pengetahuan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan warga universiti.
Sepanjang tahun 2026, Program Jom Baca telah menggabungkan perkongsian bahan bacaan dengan aktiviti interaktif bagi menggalakkan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat. Inisiatif Perpustakaan Digital Tan Sri Dr Abdullah Sanusi ini diharap dapat diteruskan sebagai platform perkongsian ilmu dan inspirasi dalam kalangan warga OUM.



